Qadha Solat Si Mati

Filed under by salmanfasiri on 11:18 PM

Soalan : Ustaz, bolehkah kita qadha solat bagi pihak si mati?

Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين وبعد

:

Sebelum kita menjawab persoalan ini, perlu dulu kita kembali kepada kaedah yang ulama sepakati iaitu " tidak harus menggantikan seseorang dalam ibadah yang melibatkan badan (ibadah badaniah)"


Solat adalah satu satu ibadah yang berbentuk kelakuan anggota sepenuhnya (ibadah badaniah), oleh sebab tu, ulama sepakat mengatakan bahawa tidak harus seseorang mengqadha solat yang ditinggalakn oleh orang lain walaupun ibu bapanya sendiri.

Ada sebilangan kecil ulama yang mengharuskan qadha, namun pendapat syaz ini tidak diambil kira dalam masalah ini.


فقد جاء في موطأ مالك أنه بلغه - أي الإمام مالك - أن عبدالله بن عمر كان يقول: لا يصل أحد عن أحد. ولايصم أحد عن أحد.

Maksudnya : terdapat dalam muwatta Imam Malik bahawa, sampai ke (pengetahuannya) bahwa Abdullah bin Umar ra berkata : Janganlah seseorang solat bagi orang lain, dan janganlah dia berpuasa bagi orang lain


Tersebut dalam kitab Mughni al Muhtaj karangan Imam Khatib Syarbini :



وَلَوْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صَلَاةٌ أَوْ اعْتِكَافٌ لَمْ يُفْعَلْ عَنْهُ وَلَا فِدْيَةَ ) لَهُ لِعَدَمِ وُرُودِهَا بَلْ نَقَلَ الْقَاضِي عِيَاضٌ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّهُ لَا يُصَلَّى عَنْهُ


Maksudnya : sekiranya seseorang meninggal dalam keadaan ada kewajipan solat atau iktikaf (yang tidak dilaksanakannya ), tidak boleh (orang lain) melakukan bagi pihaknya, juga tidak (wajib) fidyah, kerana tiada dalil tentangnya bahkan Qadhi 'Iyadh menukilkan ijmak ulama bahawa tidak boleh solat bagi pihaknya.


Seperkara lagi, pendapat ini lebih kepada qadha solat sunat yang dinazarkan oleh si mati dan perkara ini (qadha solat nazar) di akui oleh para sahabat sebagaimana riwayat Al Bukhari


فقد روي البخاري أن ابن عمر رضي الله عنهما أمر امرأة جعلت علي نفسها صلاة ثم ماتت فقال: صل عنها


Maksudnya : Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Ibnu Umar pernah menyuruh (waris ) wanita yang mewajibkan solat (nazar) terhadap dirinya, yang kemudiannya meninggal (tanpa sempat tunaikan nazar), beliau berkata : Tunaikanlah solat bagi pihaknya



Bagaimana pula jika lakukan solat sunat, yang kemudiannya pahala solat disedekahkan kepada si mati?


Persoalan ini telah lama berlaku di kalangan ulama.

Menurut Malikiyyah dan Syafiiyah, tidak akan sampai pahala solat itu kepada si mati

Imam Nawawi mentarjih pendapat ini, ditambah pula Ibnu Abdul Birr menyatakan berlaku ijmak dalam masalah ini (tidak sampai pahala)


Manakala Hanafiyyah dan mazhab Hanbali menyatakan pahala sampai kepada si mati berdasarkan qiyas kepada haji , puasa dan sedekah yang disebutkan dalam hadith.


ففي الصحيحين عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: جاء رجل - وفي رواية امرأة - إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقال يا رسول الله: إن أمي ماتت وعليها صوم شهر، أفأقضيه عنها؟ قال: "نعم، فدين الله أحق أن يقضى


".

Maksudnya :" Dalam kitab sohihain(Bukhari dan Muslim), daripada Ibnu Abbas ra katanya " seorang lelaki – dalam riwayat lain- seorang wanita datang bertemu Nabi SAW seraya bertanya : Wahai RasuluLLAH, ibuku telah meninggal, dan dia masih ada kewajipan puasa sebulan, bolehkah aku qadha bagi pihaknya/? RasuluLLAH menjawab : Ya, hutang Allah lebih berhak (utama ) untuk ditunaikan "



Namun, mereka yang mengatakan pahala sampai kepada si mati mensyaratkan tidak boleh mengambil upah atau bayaran terhadap amalan yang dilakukannya kepada si mati


Bagi penulis, jika di kala hidup, kita boleh tolong menolong sesama sendiri, di kala kematian, lebih-lebih lagi untuk kita tolong mereka berdasarkan makna umum ayat al Quran :


" dan (hendaklah ) kamu tolong menolong dalam melakukan kebaikan dan (kearah) ketaqwaan "


والله أعلم

.

وصلى الله وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

Comments: