:: Bulan Rejab ::

Filed under , by salmanfasiri on 1:22 AM

Sebelum memulakan kuliah maghrib, menggunakan kitab

(جواهر البخارى ) di Rumah Kelantan Baru (RKB), saya ditanya berkenaan hadith tentang fadhilat bulan Rejab. Secara umumnya, persoalan yang seorang ikhwah kemukakan itu, biasa berlegar sekitar perbualan pelajar agama. Dibawah ini saya perincikan tentang persoalan yang dikemukan., juga dibawakan bersama beberapa hadith lain seputar fadhilat bulan Rejab



بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين وبعد




(1) رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي"،



Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah SAW), dan Ramadhan adalah bulan umatku




Hadith ini diriwayatkan melalui sanad Muhammad Bin Hasan AnNaqasy


Kata Ibnu Jauzi dalam kitab beliau al Maudhuuat : Hadith ini maudhu (rekaan) terhadap RasuluLLAH saw, AlKasaai (salah seorang perawi) tidak dikenali dan AnNaqasy (perawi) dituduh (pendusta)


Manakala Ibnu Hajar menyatakan dalam (kitab beliau) Tabyiin Al'ajab (penjelasan perkara yang pelik) : persoalan pokok pada sanad ini ialah terhadap An Naqasy, dan Annaqasy ialah penyusun kitab Syifaa Assudur (Penawar Hati), kebanyakannya isi didalamnya, dipenuhi dengan pembohongan dan pendustaan


Kata Al Khatib Al Hafiz Abu Bakar bin Tsabit Al Bagdadi dalam kitab Tarikh beliau : Bahkan ia (kitab tulisan Annaqasy) Syaqa AsSudur ( Kecelakaan Hati, bukannya Penawar Hati)




(2) وحديث علي – رضي الله عنه- عن النبي – صلى الله عليه وسلم- قال: "إن شهر رجب شهر عظيم من صام فيه يوماً كتب الله له صوم ألف سنة"


.

Maksudnya : hadith daripada Ali ra, daripada Nabi SAW bersabda : Seseungguhnya bulan Rejab ialah bulan yang agung, sesiapa yang berpuasa dalam bulan itu sehari, Allah akan tulis baginya pahala puasa seribu tahun



Persoalan hadith ini berkisar kepada salah seorang perawinya iaitu Harun Bin Antarah


Tentangnya Harun Bin Antarah,Ibnu Hibban berkata, hadith (riwayat)nya mungkar sangat,dia meriwayatkan banyak (hadith-hadith) mungkar, sehingga hati pendengar terkesan dengannya bahawa (seoalah-olah) ia sesuatu yang boleh dipegangi kerana banyaknya riwayat beliau yang tiada asas, dan tidak harus berhujah dengannya dengan apa cara sekalipun. Ibnu Hajar menyatakan perkara ini dalam kitab beliau Tabyin Al ajab


Imam Sayuti dalam kitab beliau AlLaali Masnuuah berkata : (Hadith ini) tidak sahih, Harun Bin Antarah meriwayatkan (banyak) hadith mungkar




(3) "إن في الجنة نهراً يقال له رجب، من صام يوماً من رجب سقاه الله من ذلك النهر".


Maksudnya : sesungguhnya di dalam syurga ada satu sungai yang dipanggil Rajab, sesiapa yang berpuasa sehari pada bulan Rajab, pasti Allah akan memberinya minum air sungai itu




Hadith ini diriwayat melalui perawi Mansur Bin Yazid Al Asadi, dari Musa Bin Imran,dari Anas Bin Malik


Kata Ibnu Jauzi : (hadith ini ) tidak sahih (kerana) pada riwayatnya ada beberapa orang yang tidak dikenali, yang kami tidak tahu siapakah dia. Imam zahabi menyatakan : Mansur (salah seorang perawi) tidak dikenali, dan khabar (hadith ini) adalah batil.




(4) وحديث: "من صام ثلاثة أيام من شهر حرام كتب الله له عبادة تسعمائة سنة".



Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Haram, pasti Allah akan menulis untuknya ibadah selama sembilan ratus tahun



Dalam sanad ini ada perawi yang bernama Maslamah Bin Rashid, Kata Abu Hatim : Hadithnya berbolak balik, Imam al Azdi pula berkata : Beliau ( Maslamah Bin Rashid), tidak boleh digunakan untuk berhujah



Ibnu Hajar menyatakan dalam kitab beliau : Tidak ada sedikit pun hadith tertentu yang sahih berkenaaan fadhilat bulan Rejab, juga tiada hadtih fadhilat puasa,juga tiada fadhilat berkenaan qiyam lail khas pada bulan tersebut. Sebelum dariku ini,telah pun dinyatakan secara putus oleh Imam Abu Ismail al Harawi Alhafiz


Juga beliau pernah berkata : Hadith-hadith yang ditemui berkenaan fadhilat bulan Rejab, atau fadhilat puasa, ada dua jenis, satunya dhaif , satu lagi mungkar




(5) حديث : (( فضل شهر رجب على الشهور كفضل القرآن على سائر الكلام



Maksudnya: Kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan yang lainnya seumpama kelebihan Al Quran berbanding kata-kata yang lainnya



Ibnu Hajar menyatakan hadith ini adalah maudhu'




(6) حديث : (( اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان )) رواه أحمد و الطبراني في الأوسط




Maksudnya: Wahai Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami (panjangkan umur ) hingga ke Ramadhan



Ibnu Hajar al Haithami dalam kitab beliau Majma' AzZawaaid, kata beliau : Hadith ini riwayat al Bazzar, pada sanadnya terdapat Zaidah bin abi Ar Raqad, Imam Bukhari menyatakan bahwa dia adalah perawi mungkar, jumhur ulama tidak mengenalinya.


Imam Nawawi rh menyatakan dalam kitab beliau ( iaitu Al Azkar ) perawi hadith ini adalah dhaif (lemah), begitu juga Imam Az zahabi dalam kitab beliau Mizan I'tidal turut menyatakan bahawa perawinya lemah.


Secara umumnya, jika kita hendak melakukan ibadah puasa atau apa-apa sahaja amalan sunat yang lain, janganlah bergantung kepada fadhilat, baru berhempas pulas hendak melakukannya , sebaliknya, lakukan dengan ikhlas, berdasarkan saranan ulama yang disandarkan kepada dalil-dalil kukuh, bukannya mengikut kehendak hati dan pemikiran akal semata-mata.


Terdapat hadith yang melarang kita berpuasa pada bulan Rejab



أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏نهى عن صيام رجب



Maksudnya : sesungguhnya Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab

(Riwayat Ibnu Majah)



Namun Hadith ini adalah dhaif, kerana dalam sanad hadith terdapat perawi bernama Daud Bin Atha', yang mana ulama sepakat mengatakan ia adalah dhaif.



Keharusan puasa pada bulan Rejab adalah sebagaimana pendapat Said Bin Jubair, berdasarkan dalil umum



‏ ‏عثمان بن حكيم ‏ ‏قال ‏
سألت ‏ ‏سعيد بن جبير ‏ ‏عن صوم رجب كيف ‏ ‏ترى فيه ‏ ‏قال حدثني ‏ ‏ابن عباس ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏كان ‏ ‏يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم




Maksudnya : Uthman Bin Hakim berkata, aku bertanya Said Bin Jubair tentang puasa Rejab, apa pendapat tuan.Beliau menjawab : Ibnu Abas menceritakan kepadaku bahawa RasuluLLAh SAW berpuasa sehingga kami kata (kira) baginda tidak pernah berbuka, dan kami melihat baginda berbuka (makan minum) sehingga kami kata (kira) baginda tidak pernah puasa

(Riwayat Ahmad)



Seperkara lagi yang perlu difahami, maksiat yang dilakukan pada bulan Rejab, amat besar kesalahnnya di sisi Allah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al Baqarah yang mafhumnya:


" Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang bulan Haram (iaitu) pembunuhan yang dilakukan di dalamnya, katakanlah pembunuhan yang dilakukan di bulannya adalah amat besar (kesalahannya)…"


Jadi secara mafhum mukhlafahnya, perkara kebaikan pastinya juga ada gandaannya, Cuma tidak ada ketentuan khusus berkenaannya



والله أعلم

وصلى الله وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين



Rujukan:

1. Al Quran Karim

2. Musnad Imam Ahmad

3. Hadith atTabarani

4. Mizan I'tidal lil Imam AzZahabi

5. Allaali Al Masnuuah lil Imam Jalaluddin Assayuti

6. Tabyiin Al'Ajab lil Imam Ibnu Hajar al Asqalaani

7. Al Azkaar lil Imam AnNawawi

8. Majma' azZawaaid lil Imam Ibnu Hajar Al Haithami

9. Tarikh Baghdad lil Imam Khatib AlBaghdadi

10. Sunan Ibnu Majah




Comments: