Tauhid 3 vs Sifat 20

Filed under by salmanfasiri on 4:48 AM

Seusai membaca tentang Qadhaya Muasirah yang diberikan oleh ahli bait, saya termenung dan mengucap panjang. Apa tidaknya, dalam tajuk qadhaya untuk tahun 1 pelajar tajaan Amanah Raya Berhad terdapat tajuk “ Bangkangan Terhadap Tauhid yang 3”

Tauhid 3 ialah asas pemahaman tauhid yang agak popular sekarang ini. Ia merangkumi :

1. Tauhid Rububiyah : iaitu mengakui hanya Allah yang mencipta dan menguruskan semua alam

2. Tauhid Uluhiyah : iaitu mengakui keEsaan Allah dan melakukan segala ibadah untukNya sahaja

3. Tauhid Asma dan Sifat : mengakui dan meyakini segala nama dan sifat Allah tidak sama dengan makhluk sedikit pun

Turut saya kesali apabila diberitahu bahwa fellow MANHAL juga membantah pembahagian Tauhid kepada 3 bahagian ini.( Harapnya itu hanya khabar semata-mata, dan bukan pendirian beliau)

Di Bawah ini, dinyatakan tentang hujah mereka yang menolak pembahagian 3 tauhid :-

Hujah Pertama

Tidak ada di kalangan ulama salaf ( bahkan di zaman Nabi SAW pun ) yang membahagikan tauhid kepada 3 bahagian ini .

Jawapan :

Benarkah begitu? Jika apa yang dimaksudkan salaf ialah selain dari Nabi SAW,para sahabat dan juga tabiien, ia boleh diterima. Memang mereka tidak pernah bahagikan tauhid secara jelasnya kepada 3 pembahagian ini.

Namun, adakah sifat 20 juga pernah dibuat oleh mereka?

Jika mereka beranggapan, maksud ungkapan salaf ialah orang yang hidup dalam kurun ketiga (3 ) hijrah ke bawah, selain daripada Nabi SAW, sahabat dan tabien, ia juga tidak tepat, kerana ada beberapa ulama yang hidup dalam lingkungan zaman 3 Hijrah menyatakan tentang 3 tauhid ini.

Sebagai contoh , Al Hafidh Abu Jaafar Muhammad bin Jarir Atthabariy rahimahullah, lahir pada 224 H wafat pada 310 H.

Beliau nyatakan dalam kitab tafsir beliau pada:

1. Ayat 83 surah Ali Imran (surah ke3) tentang adanya Rububiyah dan Uluhiyyah

2. surah Annisa (surah ke 4) ayat 36

3. Surah Al Kahf ayat 110

4. Surah Sood ayat 65

5. Surah Ankabut ayat 61

Ulama (tafsir) mutaakhirin juga ada menyebut tentang tauhid ini seperti Imam Ibnu Kathir ra (ulama kurun ke 7-), ada menyatakan dalam tafsir beliau ‘ Tafsir alQuran Al-Adzim’ tentang tauhid Uluhiyyah dan Rububiyah. Sebagai contoh:

1. Surah Ankabut ayat 61

2. Surah Atthuur ayat 35

Dalam Syarah Ibnu Abi Al Izz (Ali bin Ali bin Muhammad bin Abil Izz ad-Dimasyqi, wafat 792 H) terhadap matan (teks) Aqidah Tohawiyyah, beliau turut menyebut tentang tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah ini

(فعُلم أن التوحيد المطلوب هو توحيد الألوهية الذي يتضمن توحيد الربوبية)

Maksudnya : Maka diketahui (dari sini) bahawa, yang dikehendaki di sini ialah Tauhid Uluhiyyah yang (juga) mengandungi Tauhid Rububiyyah

Hujah Kedua

Perkataan Rabb dan Ilaah, membawa maksud yang sama. Ayat Al Quran ada menyebut tentangnya, contohnya:

1. surah Yusuf Ayat 39

2. surah yusuf Ayat 40

3. surah ali imran ayat 80

4. surah al Maidah ayat 116

Jawapan

Tidak ada secara terang dan jelas yang menunjukkan bahawa Ilaah dan Rabb membawa makna yang sama, kerana kesemua ayat yang dinyatakan di atas terarah bukan kepada satu golongan sahaja.

Bagi golongan yang beranggapan bahawa ada tuhan lain yang mencipta alam, maka Allah menggunakan perkataan Robb , bagi yang mengakui Keesaan Allah, namun ibadah mereka menyimpang, maka Allah menggunakan perkataan Ilaah.

Apatah lagi dalam surah AnNaas, Allah menggunakan kedua-dua perkataan (robb dan ilaah) dalam satu surah

))قل أعوذ برب الناس. ملك الناس. إله الناس ))

Dari segi penggunaan bahasa Arab, tidak perlu diulang perkara (perkataan) yang sama dalam satu masa, kerana dengan pengulangan kata yang sama tanpa membawa maksud atau keperluan lain, ia adalah sesuatu yang sia-sia. Disamping itu juga, ia mencacatkan kefasihan ayat itu sendiri

Abu A’la Al-Maududi juga telah menjelaskan dalam kitab beliau ‘ AlMustalahat al-Arbaah Fil Quran’ tentang wujudnya perbezaan antara perkataan Ilaah dan Robb.

Banyak lagi hujah yang diutarakan yang bagi saya yang cetek ilmu ini, merasakan ianya agak kurang sesuai, tapi cukuplah sekadar saya nyatakan dua hujah utama dari pegarang asal.

Kesimpulan

Apa yang hendak saya tekankan di sini ialah bukan berkenaan siapa salah dan siapa benarnya. Semua ulama telah berusaha untuk memudahkan pemahaman agama dengan pelbagai cara. Janganlah hanya kerana pembahagian ini, menyebabkan kita semua berpecah dan mencari kesalahan orang, sebaiknya, tumpukan kepada perkara yang lebih utama lagi.

Yang penting bukan penamaan dan pembahagian, tapi sejauh mana kita memahami tugas kita sebagai hamba,tidak menyamakan Allah dengan makhluk, mengabdikan diri hanya untukNYA. Malaikat tidak akan tanya,: “kamu percaya sifat 20 ke 3 tauhid?”

Umat Islam yang tersebar di serata dunia, sepatutnya tumpukan kepada mempertahankan diri dari serangan musuh, dalam apa jua bidang. Musuh sekarang bukannya berperang secara berdepan, namun lebih kepada serangan pemikiran.

Wallahu’alam

Comments: